Thursday, 17 May 2012

PERKAHWINAN IBARAT MEMBINA SEBUAH MASJID



Dalam masyarakat Melayu Islam memang sering mengungkapkan bahawa perkahwinan atau berumahtangga itu sebagai membangunkan masjid. Tanpa huraian mendalam pun, sudah ada satu tanggapan atau persepsi bahawa membina rumahtangga itu punya maksud yang suci murni dan nilai yang tinggi hingga dikatakan sebagai membina masjid. Masjid pula adalah satu institusi yang wajib ada dalam kehidupan masyarakat. Dan sudah tentu dalam pembinaan masjid bukan boleh dibuat sambil lewa. Semua aspek yang berkaitan dengan masjid mesti tiada yang tertinggal. Misalnya masjid mesti tepat arah kiblat. Dibina dengan sempurna supaya tiada gangguan dalam penggunaannya. Penjagaan masjid yang berterusan mesti diperkirakan dari awal kerana masjid bukan sekadar hendak dipakai untuk tempoh yang singkat, sebaliknya penggunaan masjid sampai bila-bila.
Sekarang mari kita tinjau lebih terperinci lagi tentang konsep dan falsafah masjid dan bandingannya dengan rumahtangga.
1. Masjid dibina kerana Allah SWT. Dilarang membina masjid dengan niat-niat yang lain. Begitulah dalam membina rumahtangga, tidak boleh dengan niat lain. Terpesong niat akan dengan mudah memusnahkan rumahtangga. Umpamanya niat berumahtangga hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan naluri atau sekadar hendak melepaskan nafsu semata-mata. Niat-niat yang tidak murni ini awal-awal lagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Tuhan tidak pimpin dalam menjalani hidup berkeluarga. Hilang keberkatan dari Tuhan. Hasilnya rumahtangga itu tidak akan tenteram. Amat perlu diingat bahawa tanda sebuah keluarga yang hilang keberkatan ialah apabila suasana tidak tenteram, sering marah-marah, sering bertengkar, hilang kasih sayang, mementingkan diri sendiri, hidup nafsi-nafsi.
2. Arah kiblat semua masjid adalah tepat. Arah kiblat yang salah membatalkan sembahyang. Semua anggota keluarga mesti memiliki niat dan arah kehidupan yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT melalui rumahtangga dan hidup berkeluarga. Barulah rumahtangga itu akan melahirkan orang-orang yang mudah sepakat, bermuafakat, seia sekata, saling memiliki rasa bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Andainya niat berumahtangga itu tidak tepat, ibarat masjid salah kiblat. Biarpun berjaya juga dibendung dari timbulnya krisis, namun rumahtangga itu hakikatnya sudah berpecah belah.Untuk sementara waktu mungkin boleh bertahan. Dan mungkin juga masih boleh bertahan kerana belum ada sebarang cabaran atau gangguan. Lazimnya sadikit saja cabaran yang melanda akan mudah rapuh dan terbarai.
3. Masjid adalah tempat membesarkan Allah SWT. Ertinya rumahtangga adalah saluran anggota keluarga membesarkan Allah SWT. Bukan tenpat membesarkan dunia, nafsu dan syaitan. Rumahtangga yang sering berkrisis adalah berpunca kerana dalam diri masing-masing subur cinta dunia, subur perangai syaitan, bertunjangkan nafsu dan tabiat haiwan semata-mata. Cinta dunia, angkara nafsu dan syaitan adalah punca dunia porak peranda dan tidak ada noktah dari bermusuh dan berperang. Inilah juga akibat yang bakal ditanggung oleh rumahtangga yang memiliki faktor yang serupa. Iaitu rumahtangga yang Tuhan tidak dipedulikan, Tuhan terpinggir, Tuhan tidak dibawa bersama dalam kehidupan.
4. Masjid adalah tempat ibadah. Tempat beramal mengabdikan diri kepada Allah SWT. Masjid bukan tempat hingar bingar, bukan tempat kelakar dan lucu dengan hilai ketawa berdekah-dekah, bukan pasar yang riuh rendah tanpa haluan dan bukan juga arena konsert atau tempat menonton sebarang permainan. Ini bukan bererti tiada kegembiraan dan gurau senda dalam rumahtangga. Namun semuanya berlaku dengan penuh berdisiplin, kaya dengan adab sopan, tata susila dan ketertiban. Suasana yang aman tenteram seolah-olah dalam suasana menjaga ibadah. Seperti mana dalam masjid tiada maksiat, kemungkaran pertengkaran, kata nista, maki hamun, sumpah seranah, bertegang leher, maka begitulah suasana dalam rumahtangga.
5. Masjid adalah tempat berlakunya pengajian, majlis ilmu,nasihat menasihati dan peringatan. Secara khususnya atau rasminya adalah Khutbah Jumaat. Begitulah keadaan yang seharusnya berlaku dalam rumahtangga.Terutamanya suami, selaku ketua keluarga mesti mampu menjadi imam sembahyang, mengadakan majlis pengajian yang ringan-ringan terutama di bidang fardhu ain,adab-adab dan membaca Al-Quran. Juga mesti mampu memberi tunjuk ajar dan peringatan kepada anggota keluarga.
6. Masjid adalah tempat manusia merendah diri, berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bermaafan.Demikianlah sewajarnya terjadi dalam rumahtangga.Hidup dengan ketiadaan ego dan sombong, berkasih sayang,saling selamat dan menyelamatkan, saling menghiburkan, prihatin, setia dan bela membela. Yang tua mengasihi, manakala yang muda menghormati. Yang tidak tahu diberi tunjuk ajar, yang bersalah meminta maaf dan yang tidak bersalah memberi maaf.
7. Bangunan masjid itu merupakan gabungan berbagai komponen dan bahan binaan. Gabungan yang lengkap itulah menjadikan sempurnanya sebuah masjid. Ditambah lagi dengan berbagai ukiran yang menambahkan lagi cantiknya sesebuah masjid. Dalam konteks rumahtangga, ianya bukan setakat ikatan antara dua orang atau sepasang suami isteri itu saja. Lebih dari itu bermula dari ikatan dua orang suami isteri, terjalin hubungan antara keluarga kedua-dua pihak. Sanak saudara antara kedua pihak bertukar menjadi ikatan kekeluargaan yang lebih besar. Termasuk juga selepas perkahwinan itu akan mendapat anak, seterusnya menantu pula, maka bertambah lagi anggota keluarga. Selepas anak-anak dan menantu- menantu, datang pula cucu-cucu. Cucu-cucu pula berkahwin maka bertambah lagi jumlah anggota keluarga. Seluruh ikatan kekeluargaan itu perlu dijaga agar kekal tidak terungkai bahkan kekal utuh. Begitu besarnya fungsi rumahtangga.
Cuba bayangkan andainya berlaku perceraian antara suami isteri. Maka perceraian itu diibaratkan meruntuhkan masjid. Selain hilang peranan yang diibaratkan masjid, putus pula segala ikatan kekeluargaan antara dua pihak. Seolah-olah seluruh bangunan masjid itu runtuh. Walaupun bercerai itu tidak berdosa, namun ianya ibarat runtuhnya sebuah masjid, kesan negatif dari perceraian itu amat besar. Perceraian akan memberi kesan kepada retaknya ikatan dalam keluarga keseluruhannya.
Seperti mana masjid perlu ada penjagaan berterusan agar kekal berfungsi maka begitulah juga rumahtangga perlu sangat dijaga agar kekal hingga akhir hayat. Kalau runtuh masjid maka tiada lagi tempat tumpuan masyarakat untuk melaksanakan berbagai aktiviti kepada Tuhan mahu pun sesama manusia, demikianlah juga sekiranya runtuh rumahtangga maka akan berlaku berbagai kepincangan dalam masyarakat.
8. Masjid amat dijaga kebersihan dan kesuciannya. Habuk,debu, sawang semuanya disingkirkan. Najis memanglah sangat diawasi. Tahi cicak pun tidak boleh ada. Ini kesucian yang bersifat lahir. Orang-orang yang memasuki masjid turut menjaga kesucian batin. Masing-masing berusaha mengawasi gerak hati agar tidak menjalar sifat mazmumah sepanjang berada dalam masjid. Ertinya, sedikit sebanyak berusaha juga membuat penyucian hati. Kerana hati memang terasa diawasi oleh Allah SWT. Dengan harapan perasaan atau rasa diawasi oleh Allah SWT itu dapat dibawa keluar dari masjid.
Sama juga fungsi rumahtangga. Tempat di mana anggota keluaga menjadikannya gelangang mujahadah untuk membuang dan membakar sifat mazmumah, sekaligus menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Juga dengan harapan sifat-sifat mahmudah dapat di bawa bersama ketika berada di luar rumah bersama masyarakat. Kalau setiap keluarga berbuat perkara yang serupa, maka kesannya ialah anggota masyarakat terdiri daripada manusia yang baik-baik. Aman damailah pula masyarakat dan negara.

10 comments:

  1. tapi zaman sekarang bukan mudah nak bina masjid.. then kalau asas tak kukuh, robohlah masjid tu kan.. takutnya,

    ReplyDelete
    Replies
    1. yelah memang benar tu, bukan semudah itu untuk nak laksanakan sesuatu yg baik ni,yang sebnarnya di-zaman mana sekali pun memang itu lah susah nya,InsyAllah dengan berkat kesabaran yang lahir dari jati diri yang tulen maka akan terlaksana lah sesuatu yang baik itu ditambah dengan keberkatan ILAHI. InsyaAllah.

      Delete
  2. Perkawinan memang tak buat main², ada nilai ibadah didalamnya. Moga kita yg berkahwin akan menjadi keluarga sakinah, mawaddah wa rohmah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah setiap amalan yang baik itu akan mendapat barakat dan rahmat dari Allah Insyallah.

      Delete
  3. Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.(SURAT 24. AN NUUR, 32)

    ReplyDelete
  4. betul juga sobat, perkawinan bagi umat islam adalah salah satu cara yang tepat untuk mencari cinta, membuktikan cinta, dan dengan melalui perkawinan cinta kita akan diberkati oleh yg di atas sana....postingan bagus dan bermanfaat.....
    terima kasih

    ReplyDelete
  5. Belum punya istri :( belum waktunya hehehe.
    zayaps.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. KaLaU macan tu sedia kekuatan jati diri dulu sebelum terlambat hehe,

      Delete
    2. Hehehehe oke lah pakde terimakasih ya atas sarannya :)

      Delete
  6. perlu sediakan asas yang kukuh agar tidak goyang di kemudian hari

    ReplyDelete